SOALAN LAZIM (FAQ) INISIATIF PERKONGSIAN KEMUDAHAN DAN PERALATAN SAINTIFIK NASIONAL (NSFE)
  • 1. Siapa kumpulan sasar pengguna platform kemudahan dan peralatan saintifik?

    1. Platform ini diwujudkan dengan mensasarkan penggunaannya kepada komuniti Industri Kecil dan Sederhana (SME) yang meliputi sebanyak 98.5% daripada jumlah penubuhan syarikat di Malaysia. Bagaimanapun hanya 10% daripadanya terlibat dalam aktiviti R&D (Laporan Tahunan SME, 2017). Melalui perkongsian peralatan saintifik yang disenaraikan dalam platform ini akan menggalakkan SME melibatkan diri dalam R&D dengan kos yang minima dan efektif.
    2. Platform ini juga disasarkan kepada institusi penyelidikan, institusi pengajian tinggi, komuniti penyelidik serta saintis amnya bertujuan untuk terus menyokong aktiviti R&D negara dan menggalakkan perkongsian kemudahan dan peralatan saintifik.
  • 2. Apakah manfaat yang boleh diperoleh daripada platform ini?

    1. Melaksanakan aktiviti R&D tanpa perlu membeli peralatan yang mahal bagi menghasilkan sesuatu produk, proses atau teknologi baru.
    2. Memanfaatkan peluang memperoleh khidmat nasihat pakar dalam bidang sains dan teknologi melalui kerjasama perkongsian kemudahan dan peralatan saintifik ini.
    3. Mengoptimumkan penggunaan peralatan saintifik.
  • 3. Bagaimanakah pengguna boleh menggunakan platform perkongsian kemudahan dan peralatan saintifik ini?

    Pengguna boleh mencapai maklumat kemudahan dan peralatan saintifik ini melalui Platform Kemudahan dan Peralatan seperti berikut:
    1. Portal “nsfe.mestecc.gov.my” yang menyediakan capaian senarai kemudahan dan peralatan saintifik yang dikongsi untuk capaian pengguna; dan
    2. Aplikasi mudah alih “National Scientific Facilities & Equipment” yang boleh dimuat turun melalui Google Playstore untuk urusan tempahan peralatan saintifik.
  • 4. Bagaimanakah prosedur tempahan perkongsian penggunaan kemudahan dan peralatan saintifik?

    Setelah tempahan dibuat melalui platform mudah alih “National Scientific Facilities & Equipment” pengguna akan menerima emel notifikasi daripada sistem secara automatik. Pemilik peralatan akan menghubungi pengguna mengikut tempoh berdasarkan piagam pelanggan organisasi masing-masing. Seterusnya, organisasi pemilik peralatan akan menetapkan prosedur penggunaan dan bayaran penggunaan peralatan mengikut terma dan syarat yang dipersetujui. Pengguna juga digalakkan untuk menghubungi terus organisasi pemilik peralatan bagi pertanyaan lanjut.
  • 5. Adakah pengguna perlu membayar bagi penggunaan peralatan saintifik ini?

    Pembayaran adalah tertakluk kepada terma dan syarat yang ditentukan oleh organisasi pemilik peralatan mengikut jenis analisis, kos penyediaan sampel, tempoh sewaan dan sebagainya.
  • 6. Berikan contoh perkhidmatan yang boleh diperoleh oleh pengguna melalui inisiatif ini?

    Ada banyak perkhidmatan ujian dan analisis yang ditawarkan menggunakan peralatan yang disenaraikan dalam platform ini, dua contoh perkhidmatan yang ditawarkan adalah seperti berikut:
    1. Perkhidmatan penentuan keaslian madu kelulut (metabolic analysis) dengan menggunakan teknologi Nuclear Magnetic Resonance oleh Institut Genom Malaysia (MGI);
    2. Perkhidmatan Non-Destructive Testing (NDT) yang disediakan oleh Agensi Nuklear Malaysia. Perkhidmatan ini bertujuan membuat diagnosis kecacatan komponen tanpa merosakkan bahagian yang diuji dengan menggunakan alat Industrial X-Ray Machine, Ultrasonic Flaw Detector, Ground Penetrating Radar.
  • 7. Adakah kemudahan dan peralatan ini akan bertambah pada masa akan datang?

    Ya, bilangan dan kemudahan dan peralatan saintifik ini akan bertambah dari masa ke semasa. Kerajaan mensasarkan sebanyak 1200 kemudahan dan peralatan saintifik akan disenaraikan dalam platform ini.
  • 8. Siapa pemilik peralatan yang disenaraikan di bawah inisiatif ini?

    Sebanyak 32 organisasi yang terlibat dalam inisiatif yang terdiri daripada Jabatan dan Agensi kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi Awam, Institusi Penyelidikan Kerajaan dan syarikat milik kerajaan. Bilangan pemilik kemudahan dan peralatan saintifik yang ditawarkan untuk perkongsian adalah bersifat dinamik disebabkan data dikemas kini oleh pembekal data secara real time (masa nyata) atas talian.
  • 9. Apakah maklumat yang terkandung dalam platform kemudahan dan peralatan saintifik untuk membantu pengguna membuat tempahan?

    1. Nama kemudahan dan peralatan saintifik
    2. Organisasi pemilik peralatan saintifik
    3. Perincian peralatan saintifik
    4. Lokasi kemudahan
    5. Anggaran yuran bagi sewaan peralatan saintifik (sekiranya ada)
    6. Maklumat pengurus kemudahan (Facility coordinator)
    7. Maklumat perhubungan (e-mel dan nombor)
  • 10. Sekiranya berlaku kerosakan kepada peralatan tersebut adakah pengguna perlu membayar ganti rugi?

    Setiap sewaan kemudahan dan peralatan tertakluk kepada organisasi yang menawarkan perkhidmatan. Sekiranya berlaku kerosakan, organisasi pemilik peralatan akan menentukan kadar bayaran ganti rugi mengikut terma dan syarat yang dipersetujui.